Sejarah Sekolah


SEJARAH SEKOLAH KEBANGSAAN TEBENGAU



Sekolah ini terletak di tepi jalanraya antara Pekan Kecil Batas Paip ke Pekan Yan Kecil dalam Mukim Tebengau. Jarak dari Bandar Alor Setar ke Sekolah Kebangsaan Tebengau ialah lebih kurang 15 kilometer, iaitu kedudukannya jauh dari kesibukan Bandar. Nama Tebengau adalah berasal dari sejenis pokok yang diberi nama Pokok Tebengau yang dahulunya banyak terdapat disekitar kawasan ini. Bagaimanapun, pada masa sekarang, kawasan disekitar sekolah ini telah dimajukan sebagai kawasan sawah padi.


Bangunan Sekolah Kebangsaan Tebengau yang pertama dengan tiga bilik darjah mula dibina pada tahun 1345 Hijrah bersamaan tahun 1926 Masehi di atas sebidang tanah seluas 150 kaki x 150 kaki yang diwakafkan oleh En. Khalifah bin Ismail iaitu seorang anak tempatan Kampung Tebengau. Pada waktu ini sekolah diberi nama Sekolah Melayu Tebengau. Guru Besar pertama yang berkhidmat di sekolah ini ialah En. Salleh bin Mahmud. Bangunan ini masih digunakan hingga sekarang. Pada masa sekarang, bangunan tersebut digunakan untuk kelas Prasekolah, Bengkel Kemahiran Hidup dan Bilik Pendidikan Seni Visual. Kelas Prasekolah di sekolah ini mula diwujudkan pada 05 Januari 1992 dengan pelajar berjumlah 25 orang.


Sekolah ini juga terus berkembang bersama-sama arus pembangunan dan kemajuan negara ini. Selepas itu, beberapa buah lagi bangunan dibina dan keluasan kawasan sekolah juga bertambah kepada seluas 6 ekar bagi memenuhi semua keperluan pendidikan masakini kepada pelajar yang semakin bertambah melebihi 500 orang dengan bilangan kelas sejumlah 15 kelas.